Section outline

  • บทที่ 2 ความหมาย "ทักษะการฟังและการพูดภาษามลายู" 

    • Pengenalan

      Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan pelajar mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti cerita, arahan, perbualan, soal jawab, laporan berita, dan perbincangan. Kemahiran mendengar ini adalah kemahiran lisan yang paling asas dan ia berlaku pada peringkatpenerimaan (receptive level).

      Seseorang pelajar yang telah dapat menguasai kemahiran mendengar harus dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan dapat memahami maksud serta boleh mentafsir apa sahaja yang didengar itu dengan tepat. Kemahiran ini juga dimulakan pada peringkat awal pengajaran bahasa yang bertujuan untuk memungkinkan pelajar fasih bercakap dalam bahasa yang dipelajari itu.
      Menurut ILA (1996), kemahiran mendengar merupakan satu proses menerima atau memahami makna dan tindak balas terhadap percakapan atau bukan percakapan untuk mendengar sesuatu yang melibatkan proses minda atau pemikiran. Menurutnya lagi, terdapat dua cara komunikasi yang berkesan iaitu, bergantung kepada percakapan dan pendengaran.

      Menurut Yahya Othman dalam buku ‘Pedagogi Bahasa’ pula menyatakan bahawa mendengar adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif terutama semasa belajar di sekolah rendah dan menengah seperti yang terkandung dalam sukatan pelajaran. Aktiviti mendengar penting untuk dikuasai kerana penggunaannya begitu meluas dalam kehidupan seharian.

      Sehubungan itu, dianggarkan lebih kurang 60 peratus daripada masa yang digunakan adalah bagi tujuan mendengar. Keupayaan mendengar yang berkesan perlu ditekankan supaya pelajar dapat menguasai semua mata pelajaran ketika di dalam kelas.

      Pada peringkat yang lebih tinggi, pelajar mendengar pada jangka masa yang lama sebelum mencuba untuk bertutur. Kemahiran mendengar juga memberikan peluang kepada pelajar mendapatkan makna bagi mesej yang didengar bagi bahasa itu. Hal ini juga dapat membantu pelajar memperbaiki kemampuan dari segi penggunaan bahasa dengan lebih baik lagi. Sekirannya pelajar tidak menguasai kemahiran mendengar ini dengan baik, maka mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan tidak memahami apa yang disampaikan oleh guru semasa pengajaran di dalam kelas.

      Pendengaran (listening) merupakan suatu kemahiran yang asas dan utama dalam proses komunikasi. Tetapi, aktiviti ini diabaikan dan tidak diberikan perhatian yang serius oleh kebanyakan orang.

      Menurut seorang pakar komunikasi, Paul Rankin (1929), 70% daripada waktu tidak tidur kita dalam sehari digunakan untuk berkomunikasi dan 45% pula digunakan untuk mendengar sesuatu. Manakala 30% lagi digunakan untuk percakapan atau perbualan, sebanyak 16% daripada masa komunikasi anda digunakan untuk bacaan dan hanya 9 % masa anda dihabiskan untuk penulisan. Kajian yang telah dibuat oleh kebanyakan pakar menunjukkan bahawa kira-kira 85% daripada pengetahuan kita diperolehi melalui pendengaran.

      Menurut Markgraf (1957) yang dipetik oleh Koh Boh Boon dalam bukunya iaitu ‘Perspektif-perspektif Dalam Pengajaran Bahasa Malaysia’ menyatakan , kajian terhadap murid-murid sekolah tinggi pula menunjukkan bahawa pelajar ini telah menggunakan 46% daripada masa mereka di sekolah untuk mendengar sahaja dan 60% daripada aktiviti pendengaran itu adalah untuk mendengar percakapan guru. Seterusnya, terdapat beberapa kaji selidik yang dijalankan yang berkaitan tentang kepentingan kemahiran mendengar yang diajar di luar dan dalam bilik darjah.
      Kesimpulannya, kemahiran mendengar ini merupakan sebahagian daripada proses komunikasi antara manusia. Mendengar adalah aktiviti aktif dari segi mental kerana kemahiran ini melibatkan kefahaman dan pemprosesan maklumat yang didengar.

      2.1.2 Definisi Kemahiran Mendengar

      Terdapat perbezaan antara “listening” dan “hearing”. Kedua-dua perkataan bahasa Inggeris tersebut mempunyai maksud yang sama dalam bahasa Melayu. Namun sebenarnya “hearing” adalah mendengar yang bersifat fizik, bermaksud ada suara yang didengari oleh telinga kita, namun tidak diperhalusi oleh fikiran kita, jadi apa-apa yang didengari oleh kita bersifat angin lalu, iaitu tidak berkesan. “Listening” pula melibatkan usaha-usaha aktif dari fikiran kita dan perhatian penuh atas apa yang kita dengar melalui telinga kita.

      Dengan demikian mendengar yang efektif adalah seperti “listening” dalam Bahasa Inggeris yang merupakan sebuah proses serius yang tidak boleh dilakukan hanya dengan mengandalikan kebiasaan, refleks atau perasaan. Mendengar yang efektif adalah upaya untuk menghubungkan titik-titik yang kadangkala menyatakan nasihat yang tersembunyi yang perlu kita tahu.

      Sayangnya kita kurang memberi perhatian tentang pentingnya mendengar secara efektif, sehingga seringkali menyebabkan kesilapan dalam komunikasi, salah menerima maklumat atau tindak balas dari pendengar yang tidak diharapkan.
      Salah satu penelitian menunjukkan rata-rata orang menghabiskan satu pertiga daripada waktunya dalam organisasi untuk mendengar. Sehingga jika kita memiliki kecekapan mendengar yang baik, waktu yang kita habiskan untuk mendengar akan lebih bermakna.

      Kemahiran mendengar adalah satu proses yang melibatkan dua peringkat kemahiran. Peringkat pertama ialah menerima dan membezakan bunyi-bunyi bahsa yang hampir sama seperti “b” dan “p” yang mewakili “badang” dan “padang”., “d” dan “t” yang mewakili “datang” dan “tatang”.

      Peringkat kedua pula ialah memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan, frasa, klausa dan ayat. Pemahaman tentang bunyi bahasa itu bergantung kepada pengetahuan, pengalaman budaya dan sikap pendengar itu.

      Untuk memahami bunyi bahasa, seseorang itu perlu mempunyai unsur-unsur kefahaman seperti pengetahuan sedia ada pada pendengar, seperti fakta dan budaya bahasa yang didengar serta bagaimana bahasa digunakan. Sejurus itu adalah pengetahuan tentang situasi berlakunya pertuturan yang didengar dan pengetahuan tentang sistem bahasa.

      Apabila ketiga-tiga unsur ini ada, maka seseorang itu akan memahami unsur bahasa yang didengar dengan lebih senang. Proses mendengar adalah suatu aktiviti yang aktif. Si pendengar mesti mengenal pasti dan mengetahui makna bunyi bahasa. Selain itu pendengar juga memilih dan menyimpan apa yan difahami dalam ingatannya. Ini menunjukkan mendengar adalah suatu proses yang aktif kerana berlaku tindak balas selepas mendengar.

      Implikasi kurangnya perhatian pada kecakapan mendengar secara efektif adalah fakta bahawa menjadi pembicara yang efektif sudah seringkali kita dengar, namun latihan untuk mendengar yang efektif rasanya jarang kita temui. Padahal kecekapan mendengar sangatlah penting. Orang bijak mengatakan kita dikurniakan oleh Tuhan dengan dua telinga untuk lebih banyak mendengar dan hanya satu mulut untuk lebih sedikit berbicara.

      2.1.3 Aspek-Aspek Penting Dalam Kemahiran Mendengar

      2.1.3.1 Konsep-konsep Penting dalam Pendengaran.

      Pendengaran boleh dikonsepsikan dengan pelbagai cara iaitu pendengaran merupakan gabungan segala yang didengari, difahami dan diingati. Pedengaran berlaku melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Individu lebih banyak mendengar melalui pengalaman daripada melalui kecerdasan otaknya.

      Aspek fizikal, psikologi dan neurologi mempengaruhi proses pendengaran Pendengaran yang cekap memerlukan penyatuan idea yang logik dan berkesan.
      Juga , pendengaran harus berlaku melalui fikiran dan bukan perasaan.

      Pendengaran untuk mengkritik memerlukan pendengaran yang berpusatkan idea utama, hujah dan bukti. Pendengaran untuk tujuan hiburan melibatkan tindak balas positif terhadap muzik, kesusasteraan, drama dan lain-lain bahan kreatif. Pendengaran untuk tujuan apresiasi memerlukan analisis kritis terhadap bentuk dan isi.

      2.1.4 Proses Mendengar

      Proses mendengar sesuatu yang didengar melibatkan organ telinga untuk mendengar sesuatu bunyi. Proses mendengar ini juga biasanya berlaku dalam empat peringkat iaitu yang pertama, mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa, kemudian memahami bunyi-bunyi tersebut, menilai bunyi-bunyi tersebut dan yang keempat bertindak terhadap bunyi-bunyi tadi

      Kita sedia maklum organ pendengaran manusia terdiri daripada dedaun telinga, gegendang telinga, bendalir, alat-alat deria telinga tengah dan telinga dalam. Organ yang sensitif dan kompleks ini menangkap dan menafsir pelbagai bentuk bunyi sehingga membolehkan kita mendengar sesuatu bunyi.

      Pendengaran adalah satu unsur komunikasi dan tanpa seseorang pendengar sesuatu komunikasi lisan tidak akan lengkap. Penutur yang merupakan punca sesuatu komunikasi akan menubuhkan kod-kod tertentu bagi mesej yang hendak disampaikan itu di dalam otaknya (encode). Kemudian menerusi alat pertuturannya, kod-kod tersebut akan disampaikan sebagai bunyi bahasa. Bunyi tersebut akan diterima sebagai gelombang bunyi yang menggentarkan gegendang telinga pendengar dan di situ bermulalah satu getaran yang berakhir di bahagian telinga dalam pendengar.

      Sehingga kini proses pendengaran yang berlaku hanyalah bersifat fisiologikal. Pendengaran dengan kefahaman belum berlaku sehingga mesej yang diterima itu dianalisis dan ditafsir oleh otak. Sebenarnya rangsangan bunyi tersebut sampai ke bahagian otak dan saraf tunjang secepat kilat, sebagai satu desakan saraf yang bertindak sebagai elektrokimia. Di bahagian otak, rangsangan bunyi itu mula diterima sebagai bunyi berasingan ataupun sebagai satu kumpulan bunyi yang mesti ditempatkan di dalam satu konteks tertentu. Kemudian barulah ia dikenali sebagai simbol perkataan yang bermakna dalam sesuatu bahasa.

      Seterusnya bahagian otak pendengar akan memadankan bunyi perkataan tadi dengan pengalaman dan kumpulan makna yang telah sedia ada di dalam otaknya, kemudian barulah pendengar dapat menjangka maksud sebenar bunyi bahasa yang didengarnya. Secara sedar atau tidak ia telah menilai bunyi tersebut berdasarkan sikap, nilai dan kepercayaannya sebelum memberi reaksi terhadap mesej penutur tadi. Segala pengalaman dan maklumat yang diterima akan disimpan di dalam otak dan dalam keadaan tertentu ia dapat diingat kembali.

      Daripada model pendengaran tadi, kita dapat melakukan beberapa kesimpulan bahawa makna atau maksud sesuatu ujaran itu didapati oleh seseorang pendengar berdasarkan tanggapan, pengetahuan, pengalaman dan penghargaan sendiri tentang perkataan itu, tidak semestinya sama dengan maksud yang hendak disampaikan oleh penutur. Ketepatan maksud yang ditanggap oleh pendengar bergantung kepada beberapa faktor lain seperti tahap kemesraannya dengan penutur, suasana sekeliling, bahan pertuturan, kesediaan mendengar, penumpuan dan motivasinya.Perhatian, penerimaan dan persepsi pendengar merupakan kemahiran yang boleh dilatih dan dikuasai.

      Kebiasaan dan tatatertib komunikasi merupakan beberapa perlakuan tertentu daripada penutur dan pendengar supaya perhubungan itu dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Kebiasaan mendengar yang buruk boleh merosakkan persefahaman, tetapi ini dapat diperbaiki dengan kesedaran dan latihan.

    • KEMAHIRAN BERTUTUR

      Bertutur merupakan satu cara berkomunikasi yang kompleks dan melibatkan proses mental yang menggerakkan alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna. Di samping penghasilan bunyi bahasa, seseorang itu akan menggunakan unsur-unsur prosodi dan cara paralinguistik semasa bertutur bagi menguatkan maksud pertuturan. Unsur prosodi ialah intonasi, nada, tekanan, sebutan dan jeda. Manakala unsur para linguistik ialah bahasa isyarat dan pergerakan badan. Bertutur ialah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat-alat sebutan atau dikenali juga sebagai artikulator. Bertutur merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa dan berlaku pada peringkat produksi. Oleh sebab itu, model-model yang diperdengar haruslah model-model yang baik yang membolehkan pelajar-pelajar bertutur secara berkesan.

      Beberapa konsep pertuturan
       
      (a) Pertuturan ialah gabungan bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan.
      (b) Pertuturan berlaku pada peringkat produksi. Ia berlaku setelah si penutur itu dapat mendengar dan memahami dengan baik apa yang didengarnya.
      (c) Aspek fizikal, kesihatan, persekitaran, dan jantina boleh mempengaruhi kemahiran bertutur.
      (d) Individu lebih banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada kecerdasan otaknya.
      (e) Pertuturan yang baik boleh dikuasai dengan memberi tumpuan kepada aspek fonologi, struktutr, intonasi dan penguasaan sistem bunyi yang lain.

      Berdasarkan sukatan pelajaran bahasa Melayu, kemahiran lisan melibatkan kemahiran yang berkaitan dengan aktiviti yang berikut:
      (a) Berkaitan dengan kemahiran mendengar dan menyebut atau mengajuk bunyi dan suara.
      (b) Kemahiran yang berhubung dengan arahan dan permintaan terutama yang berkaitan dengan diri dan masyarakat setempat.
      (c) Pengucapan yang berunsur sosial dan bermoral.
      (d) Soal jawab dengan tujuan untuk berinteraksi, sosialisasi dan berkomunikasi.
      (e) Bercerita sebagai cara untuk menyampaikan pengalaman dan perasaan individu.
      (f) Berita dan laporan iaitu kemahiran melahirkan semula pengalaman dan pengamatan secara lisan dalam struktur ayat dan frasa yang baik.
      (g) Kemahiran bersyarah dengan menggunakan bahasa, intonasi, gaya di samping suara yang baik dan jelas maksudnya.
      heart Lakonan dan puisi iaitu kemahiran menyampaikan pendapat dalam gaya yang menarik dan serentak.
      (i) Perbincangan dan perbahasan iaitu kemahiran mengeluarkan pendapat di samping mempertikaikan pendapat orang lainsecara serentak.

      Aspek-aspek penting dalam kemahiran bertutur
      (a) Sebutan
      (b) Tekanan
      (c) Mora (panjang-pendek)
      (d) Jeda (persendian)
      (e) Intonasi
      (f) Nada
      (g) Tatabahasa
      heart Kelancaran
      (i) Kefasihan
      (j) Laras bahasa

    • KEMAHIRAN MENDENGAR BAHAGIAN 1: PROSES MENDENGAR