Section outline

  • UNIT 4 PERMAIANAN MELAYU

    Permainan Tradisional Melayu

    PERMAINAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU

    Pengenalan

                    Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Ikatan masyarakat terus dikukuhkan dan dieratkan dengan acara-acara keramaian dan juga hiburan. 

                        Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Kegiatan harian, bermusim dan tahunan daripada individu ke individu tidak banyak berbeza. Situasi ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah, sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Apabila musim menuai padi berakhir dan musim tengkujuh tiba pesawah dan nelayan mengisinya dengan kerja-kerja sampingan. Kerja-kerja demikian boleh ditangguhkan dengan mudah. Tempoh peralihan antara musim inilah digunakan untuk mengadakan keramaian serta pesta.

                    Apabila sesuatu pertandingan permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh sebab itu, permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Terdapat permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Namun, terdapat permainan yang terus kekal  digemari lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain.

    Contoh Permainan Tradisional (Jabatan Warisan Negara atas talian):

    YouTube Video


    1. Galah Panjang
    2. Batu Seremban
    3. Sepak Raga
    4. Ketinting
    5. Congkak
    6. Gasing
    7. Wau Tradisional Melayu
    Persoalannya, bagaimanakah cara bermain semua permainan ini?

    Cara Bermain
    1. Galah Panjang (Portal 1Klik, 2008)

    Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

    Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu di sepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala, permain hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang. Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Sesiapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, sama ada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.


    2. Batu Seremban/ Selambut (Wikipedia)

    Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih. Kemahiran semasa bermain Batu Seremban ialah melambung dan menangkap.

    3Sepak Raga (Portal Rasmi Negeri Johor atas talian, 2013)

    Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimbang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke lantai. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.

    4. Ketinting/ Teng-Teng (Portal Rasmi Negeri Johor atas talian, 2013)

    Teng teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak terdiri dari dua hingga empat orang setiap gelanggang, tiada peraturan tetap dengan jumlah pemain bagi setiap gelanggang. Sekiranya melebihi dari empat pemain dalam satu gelanggang, permainan akan mendatangkan kesukaran bagi setiap pemain untuk berteng-teng. Setiap pemain tidak dibenarkan memijak petak di mana gundu berada di dalamnya, sama da kepunyaan sendiri atau pihak lawan, jika terpijak permain itu akan dikira mati, giliran pemain seterusnya mengambil alih permainan.

    5. Congkak (Portal Rasmi Negeri Johor, 2013)

    Yang berikut merupakan peraturan permainan congkak:
    a. Congkak hanya boleh dimainkan oleh 2 dua orang sahaja pada sepanjang masa. Kedua-dua mereka akan berhadapan dengan satu sama lain, dengan papan
    congkak tersebut diletakkan di tengah. Mulanya, kedua dua pemain akan mencapai semua biji yang terdapat di salah satu lubang yang berderetan di depan masing-masing. Setiap lubang mempunyai 7 biji pada waktu permulaannya, tetapi akan berbeza setelah permainan tersebut mula. 

    b. Kemudian, genggaman biji itu dilepaskan satu demi satu pada setiap lubang, mengikut daerah ke kiri. Lubang besar yang terdapat di dua-dua hujung papan congkak itu dipanggil ‘rumah’. Setiap pemain akan memilih ‘rumah’ mereka sebelum mula bermain. Sedang mereka melepaskan satu demi satu biji itu, mereka juga akan letakkan satu di rumah masing-masing.

    c. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga kesemua bijinya sudah habis diletakkan. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil biji yang masih ada di mana-mana deret sendiri. Sekiranya biji yang terakhir itu jatuh di lubang kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati. Kadangkalanya, apabila salah satu daripada pemain sudah pun kalah, yang ‘pemenang’ itu mengambil kesemua biji-biji yang masih berada di semua lubang dan ia akan dimasukkan ke dalam ‘rumahnya’. Pemenangnya adalah dia yang telah mendapat lebih biji.

    d. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam lubang kosong di kawasan sendiri atau pesaing dan pemain hendaklah berhenti, Pemain itu boleh menembak lubang lawan yang setentang dengan lubangnya iaitu mengaut kesemua biji (jika ada) di dalam kampung tersebut dan meletakkannya di ‘rumah’ mereka.

    6. Gasing 

    Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.

    Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.

    7. Wau Tradisional Melayu

    cara bermain layang wau

    Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau atau layang-layang tersebut tinggi di udara.